Monday, November 29, 2010

PENGENALAN MENGENAL ALLAH

PENGENALAN MENGENAL ALLAH



1) Soal:- Apakah ilmu pertama yang difardhukan didalam Islam?.

Ilmu pertama yang menjadi fardu dalam islam itu, adalah mengenal Allah (Makrifat kepada Allah). Sebagaimana dinyatakan oleh junjungan Besar Baginda Rasulullah saw. didalam hadisnya:-

“Awal-awal beragama itu mengenal Allah”


Fardhu itu adalah wajib, iaitu wajib bagi yang beragama Islam mengenal Allah, serta menjadi tanggung jawab pertama sebagai seorang muslim. Selagi ilmu mengenal Allah tidak dikuasai, selagi itulah tidak layak baginya dipanggil muslim, islam dan muslimnya seseorang itu, adalah bergantung kepada kenal atau tidaknya ia kepada Allah dan bukannya bergantung kepada banyaknya ibadat.


Ilmu mengenal Allah itu, sepatutnya diberi keutamaan dari lain-lain keutamaan dan hendaknya didahului dari lain-lain keperluan. Keutamaan dan keperluan pertama hidup makhluk manusia itu, bukan sembahyang, puasa, zakat atau haji. Keutamaan yang pertama didalam islam itu, adalah mencari ilmu mengenal Allah, barulah disusuli dengan yang selebihnya. Tidak sempurna hukumnya mengerjakan amalan- amalan syari’at yang lainnya, sebelum makrifat kepada Allah (mengenal Allah).


Bersabda Rasulullah swa. semasa mengutus Mu’az keYaman:-

“Sesungguhnya engkau akan datang kepada satu kaum yang mempunyai kitab, maka hendaklah seruan yang mula-mula engkau serukan mereka kepadanya ialah, tauhid akan Allah “apabila mereka telah mengenal Allah”, maka khabarkan kepada mereka bahawa Allah telah memfardhukan atas mereka sembahyang lima waktu sehari semalam”.


Islam, iman dan amal yang sempurna itu, adalah setelah sempurna dalam ilmu mengenal Allah, barulah boleh disusuli dengan perintah sembahyang dan amalan fardhu yang selebihnya.


Ilmu mengenal Allah ada dua jalan. Pertama melalui jalan ilmu syari’at dan yang kedua melalui jalan ilmu hakikat. Jalan ilmu syari’at itu, mengenal Allah melalui pekerjaan anggota zahir. Seumpama menggunakan anggota tangan untuk bertakbir, kaki untuk berdiri, mulut untuk melafazkan ayat-ayat suci al-Quraan dan sebagainya. Maka jalan ilmu hakikat untuk mengenal Allah itu, dilakukan dan disempurnakan melalui pekerjaan anggota batin (roh).


Pekerjaan ibadah syari’at, tanpa diikuti dengan pekerjaan ibadah hakikat (batin), hukumnya adalah tidak sempurna dan tidak sah. Tidak memenuhi kehendak agama dan tidak pula memenuhi tuntutan islam, ibadah anggota zahir yang tidak disertai anggota batin itu, seumpama pohon mati yang tidak berdaun, seumpama sebiji buah yang ketiadaan isi dan seumpama matahari yang ketiadaan cahaya.


Islam bukannya agama syari’at yang hanya beribadah melalui anggota zahir sahaja, sebagaiman agama-agama lain. Islam itu adalah agama ibadah yang disertai dengan pekerjaan anggota batin (roh).
bersambung…..