Tuesday, March 29, 2011

Mengenal Allah Melalui Sifat 20

MENGENAL ALLAH MELALUI SIFAT 20


1) Soal:- Apakah maksud sifat dua puluh?

Sifat dua puluh itu, adalah satu konsep ilmu yang ciptaannya sangat ajaib, didalam mentafsir kaedah mengenal Allah melalui ilmu makrifat.

Sifat dua puluh dicipta oleh ilham para saufi dan para aulia’ terdahulu, bagi tujuan mengajar kita menuju jalan mengenal Allah. Barang siapa mempelajari sifat dua puluh dengan bersungguh-sungguh, berserta faham akan maksud dan makna yang tersirat, insyaAllah ia akan dapat mengenal
Allah swt. dengan nyata lagi terang.

Banyak cabang ilmu dan banyak kaedah pembelajaran yang telah didedehkan melalui kitab, melalui pondok, melalui sekolah dan tidak kurang pula melalui guru-guru agama, semua itu bertujuan bagi mencari jalan, mencari cara dan mencari kaedah untuk mengenal Allah. Diantara banyak-banyak cara dan diantara banyak-banyak kaedah, cara dan kaedah terbaik bagi mengenal Allah swt. adalah dengan mempelajari sifat dua puluh.

Allah tidak akan dapat dikenal melalui mata zahir, ia hanya dapat dikenal melalui mata hati dengan mempelajari sifat sifatNya. Tidak ada jalan, tidak ada cara dan tidak ada kaedah lain untuk mengenal Allah, melainkan melalui ilmu mengenal sifat-sifatNya. Hanya melalui sifat-sifatNya sahaja, yang membolehkan kita mengenal Allah Ta’ala. Andai kata adanya jalan lain, selain dari kaedah itu, ternyata ianya adalah dusta yang teramat besar.

2) Soal:- Adakah Allah itu, layak untuk disifat-sifatkan?.

Sebelum sifat dua puluh diperjelaskan, suka diingatkan disini bahawa, Allah sebenarnya tidak bersifat dan Allah sebenarnya tidak boleh disifatkan. Seandainya Allah bersifat, bermakna Allah itu berbilang-bilang. Seandainya Allah bersifat bererti Allah itu boleh dikualiti dan boleh dikuantitikan. Sedangkan Allah tidak berbilang-bilang, tidak berkualiti dan tidak dikuantitikan. Maha Suci Allah dari sifat berbilang-bilang yang meyerupa sifat makhlukNya. Allah tidak boleh dipersifatkan.

Allah itu sangat tinggi, sangat jauh, lebih tinggi dan lebih jauh dari kedudukkanNya, hingga tidak sampai akal untuk memikir dan tidak sampai akal untuk mengkajinya. Allah tidak terhad dan Allah tidak terbatas, sedangkan akal kita amat terhad dan amat terbatas. Allah tidak ada awal dan tidak ada akhirnya. Tidak mungkin tercapai oleh akal untuk menjangkaunya.

Mana mungkin Allah bersifat, Allah adalah satu zat yang buakan ‘Ain (bukan benda), Allah bukan barang. Allah bukan benda (‘Ain) dan Allah bukan sesuatu, Allah adalah perkara yang tidak boleh disifatkan. Sifat yang disifatkan dan sifat yang dinyatakan itu adalah semata-mata thamsil, semata-mata misalan, semata-mata usal, semata-mata perumpamaan dan semata-mata sekadar contoh bagi mempermudakan faham.

3) Soal:- Apakah asas sifat dua puluh?

Sifat 20 berasaskan kepada empat perkara:
1) Zat (roh)
2) Sifat Allah (rupa)
3) Af’al Allah (perangai)
4) Asma’ Allah (nama)

4) Soal:- Apakah sifat-sifat Allah yang dua puluh itu?

Diantara dua puluh sifat Allah, adalah seperti berikut:-
1) Ujud ( Ada )
2) Qidam ( Sedia )
3) Baqo’ ( Kekal )
4) Mukhalafathu- Lilhawadith (Bersalahan dengan yang baharu )
5) Qiamuhu binafsih ( Berdiri sendiri )
6) Wahdaniah ( Esa )
7) Qudrat (Kuasa)
8) Iradat (Menghendaki)
9) Ilmu (Mengetahui)
10) Hayat (Hidup)
11) Samak (Mendengar)
12) Basar (Melihat)
13) Kalam (Berkata-kata)
14) Qadirun (Maha Berkuasa)
15) Muridan (Maha Menghendaki)
16) Alimun (Maha Mengetahui)
17) Hayyun (Maha Hidup)
18) Sami’un (Maha Mendengar)
19) Basirun (Maha Melihat)
20) Mutakalimun (Maha Berkata-kata)

5) Soal:- Dua puluh sifat Allah itu terbahagi kepada berapa bahagian?

Dua puluh sifat-sifat Allah terbahagi pula kepada empat bahagian.
1) Bahagian sifat nafsiah
2) Bahagian sifat ma’ni
3) Bahagian sifat ma’nawiah
4) Bahagian sifat salbiah

Bahagian yang empat inilah yang dikatakan menjadi intipati dan isi kepada ilmu mengenal Allah. Empat bahagian inilah nantinya yang akan mengupas dan yang akan menterjemahkan sifat dua puluh. Barang siapa yang berhajat untuk mengenal Allah, perlu diambil perhatian kepada keempat-empat bahagian tersebut.