Thursday, June 3, 2010

BANJAR YANG PERTAMA MENGAJAR DI MASJIDILHARAM MEKAH

SYAIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI (RAHIMAHU’LLAH TA’ALA)

Beliau seorang ulama besar yang sangat berpengaruh dan memegang peranan penting dalam sejarah dan perkembangan Islam, khususnya di Kalimantan, ahli dalam bidang fikih atau syariat dan tasawuf, tokoh yang banyak menabur jasa dalam pembangunan Islam di rantau ini. Sabil al-Muhtadin masih menjadi bahan rujukan sampai ke hari ini di Malaysia,

Riwayat hidup beliau:
Namanya ialah Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan di Martapura, Kalimantan pada 15 Safar 1122 H/ 19 Mac 1710 dan meninggal di Kalampayan, Banjar, Kalimantan Selatan pada 6 Syawal 1227 H /13 Oktober 1815. Dalam usia 100 tahun lebih.

Anak sulung dari lima bersaudara. Mendapat pendidikan asas dengan ayahandanya sendiri, dan sewaktu berumur tujuh tahun sudah boleh membaca Qur’an dengan baik, beliau dijadikan anak angkat oleh Sultan Banjar Sultan Tahlilullah (1112H /1700M-1158H /1745M) dan beliau mendapat pendidikan dari guru-guru di istana. Beliau dikahwinkan oleh Sultan dengan seorang wanita bernama Bajut; kemudian dihantar meneruskan pengajian ke Mekah dan tinggal di Mekah selama 30 tahun.
Selama di Mekah beliau mempelajari ilmu-ilmu agama termasuk geografi, biologi, matematik, geometri dan astronomi. Selepas itu beliau pergi belajar ke Madinah selama 5 tahun. Semasa di Mekah beliau pernah mengajar di Masjidilharam Orang Banjar pertama Mengajar di masjid Makah.

Antara para guru beliau yang terkenal termasuklah: Syaikh Ata’illah bin Ahmad (pengarang Kitab Hikam), Syaikhul-Islam Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syaikh Muhammad bin ‘Abdul-Karim as-Samman al-Madani, al-Damanhuri, dan Ibrahim ar-Rais az-Zamzami, dan dari yang terakhir ini beliau mempelajari ilmu falak atau astronomi. Ini menjadikan beliau menonjol di kalangan ulama Melayu dirantau ini.

Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Kalimantan pada tahun 1186 H /1773 M. kembali ke Martapura, ibu kota Kesultanan Banjar. Kepulangannya disambut meriah oleh Sultan Tamjidillah (yang menjadi Sultan waktu itu) dan semua rakyat Banjar. Semenjak itu bermulalah usaha pembangunan umat di Banjar dengan bantuan Syaikh ‘Abdul Wahab Bugis, (menantu kepadanya beliau).

Kegiatan Pendidikan dan Dakwahnya:

Dilihat dari kegiatan-kegiatan pendidikan dan dakwahnya, jelas Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari adalah seorang ulama yang mengambil berat tentang syariat Islam dan amalannya. Tetapi perlu dinyatakan bahawa akidahnya, sebagaimana yang jelas daripada tulisan-tulisannya sendiri adalah akidah Sunni.
Beliau melibatkan diri dalam banyak kegiatan yang menyentuh soal syariat. Di antaranya ialah dalam hubungan dengan masalah syarak yang melibatkan kiblat umat islam.
Dicatatkan bahawa Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari pernah beliau membetulkan arah kiblat beberapa masjid di Jakarta seperti di Jembatan Lima, Masjid Luar Batang, dan Masjid Pekojan.
Beliau juga mengambil langkah memperbaharu dan memperkemas pentadbiran mahkamah Syari’ah Kesultanan Banjar. Ini berlaku dengan dokongan Sultan Banjar waktu itu, Sultan Tahmidullah (1167H/1773M-1223H/1808M).

Untuk membantu beliau menjalankan usaha pendidikan dan dakwah, Sultan memberi kepadanya tanah dimana dibinakan pusat pengajian, perpustakaan, dan asrama untuk para penuntut. Dengan itu ramailah para penuntut yang datang dari pelbagai pelusuk negeri, dan lahirlah dari institusi itu ulama-ulama yang berjasa besar ditanah air.
Syekh Muhammad Arsyad diangkat oleh Sultan sebagai mufti pertama Kerajaan Banjar dan Abu Zu’ud diangkat sebagai kadhi pertama. Al-Banjari sendiri menjadi penasihat dalam semua bidang perlaksanaan hukum Syari’at. Maka kerana mengikut anjuran Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari Kesultanan Banjar mengamalkan bukan sahaja hukum berkenaan dengan kekeluargaan dan muamalah tetapi juga hukum berkenaan dengan jenayah, seperti hukuman-hukuman Syariat berkenaan dengan jenayah berat menyentuh zina, mencuri, murtad, dan hukum ta’zir. Dengan itu maka diadakan mahkamah Syara’ untuk membuat keputusan tentang hukuman-hukuman yang diperlukan. Dan untuk memberi pimpinan dalam hal itu mufti yang mengeluarkan fatwa-fatwa..

Dalam hubungan dengan hukum “fara’id” atau pembahagian pesaka, Syaikh Muhammad Arsyad membuat keputusan iaitu bila isteri juga berkerja, maka diadakan konsep yang disebut sebagai “berpantangan”, ertinya “timbangan perbandingan yang sama bobotnya dalam pembahagian harta suami-isteri” Bila berlaku kematian maka harta dibahagi dua dahulu. sebagai usaha bersama antara suami-isteri (tidak termasuk harta asal milik suami atau isteri masing-masing), kemudian baharulah berlaku pembahagian harta mengikut fara’id. Dengan ini si isteri mendapat dua kali peluangnya, satu daripada pembahagian mula-mula, kemudian pembahagian mengikut fara’id. Kalau di negeri-negeri di Malaysia ini disebut sebagai “harta sepencarian”

Kalau hendak disebutkan kepentingan teksnya dalam pendidikan dan dakwah, maka teks fikh yang paling menonjol dalam ibadat tidak syak lagi ialah Sabil al-Muhtadin. Fikh dalam aspek ibadat tidak ada lagi yang boleh menandingi teks ini dari segi mendetail hukumnya serta dengan teguh tempat sandarannya dari segi hukum dalam mazhab Syafi’i .
Secara ringkasnya, jasa Syaikh Muhammad Arsyad al-banjari boleh dilihat dari beberapa sudut. Diantaranya beliau menapis ‘akidah Ahlis-Sunnah di rantau ini dengan mengemukakan ciri-ciri pelbagai pegangan yang sesat, bid’ah, dan kurafat bahkan yang membawa kepada kekufuran.

No comments:

Post a Comment